Ertinya: “Cintai kalian akan Allah, dengan nikmat yang Dia telah berikan kepada kalian, cintailah aku kerana cintakan Allah Ta'ala dan cintailah kalian akan ahli baitku (keluargaku) kerana cintakan aku” [at-Tirmidhi dan al-Hakim menshahihkan hadits ini dan dipersetujui oleh az-Zahabi di dalam al-Takhlis]
Dikeluarkan oleh al-Tirmidhi daripada Jaabir رضي الله عنه, beliau berkata, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu suatu perkara yang jika kamu berpegang dengannya, kamu tidak akan tersesat yaitu KitabuLlah (al-Qur’an) dan itrahku (ahli baitku). [Hadits riwayat Imam al-Tirmidhi, dan beliau mengatakan bahawa hadits ini hasan]
Imam Syafie رحمه الله menyebut didalam syair beliau (maksudnya):
Ahlul bait Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada Allah.
Aku berharap kelak (dengan keberkatan mereka) agar dapat diserahkan sahifahku (buku catatan amalan) dengan tangan kananku
Aku berharap kelak (dengan keberkatan mereka) agar dapat diserahkan sahifahku (buku catatan amalan) dengan tangan kananku
Sempena kunjungan Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz حفظه الله ke Malaysia pada bulan Mei 2009, ingin abuzahrah memperkenalkan secara ringkas mengenai ulama ahlulbait yang terkenal ini.
Nasab: Nasab beliau adalah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin ‘Abdullah bin Abi Bakar bin Aidarus bin Umar bin Aidarus bin Umar bin Abi Bakar bin Aydrus bin al-Hussin ibn al-Syaikh Abi Bakar bin Salim bin Abdullah bin Abdurrahman bin ‘Abdullah bin Abdurrahman al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Dawilah bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shahib al-Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidullah bin Imam al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa al-Rumi bin Muhammad al-Naqib bin ‘Ali al-Uraidhi bin Ja’far al-Shadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Hussin al-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah al-Zahra’ binti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ..
Beliau, seorang ulama ahlul bait. Pengasas kepada pusat pengajian Dar al-Musthafa di Tarim. Beraqidah Asya’irah, bermazhab Syafie dan mengikuti tariqah Alawiyyah (Bani ‘Alawi). Beliau adalah ulama ’arifbillah yang menghimpunkan syariat dan hakikat. Seorang pendakwah yang gigih.
Lahir: Beliau dilahirkan pagi sebelum subuh hari Isnin, 4 Muharram 1383H bersamaan 27 Mei 1963, di Bandar Tarim, Hadramaut, Yaman. Ayahnya telah syahid ketika umur beliau sembilan tahun. Biografi ayahandanya boleh di baca disini.
Pendidikan: Beliau mampu menghafal al-Quran di dalam usia yang masih muda. Selain itu juga beliau menghafal ribuan hadits, matan-matan pelbagai ilmu dan juga syair-syair arab. Bahkan beliau adalah seorang yang mahir dalam menghasilkan syair seperti yang terungkap di dalam kitab Dhiyaul Lami’ karya beliau.
Ini semua adalah merupakan kurnia Allah kepada beliau dan juga hasil dari pendidikan di dalam pelbagai displin ilmu yang beliau perolehi dari sejumlah ulama besar di Hadramaut dan Haramain. Di antara guru beliau di Hadramaut adalah:
- Ayahanda sendiri al-‘Allamah Habib Muhammad bin Salim (Mufti Tarim)
- Habib Muhammad bin ‘Alawi bin Syihab
- Habib Ahmad bin ‘Ali bin Syeikh Abu Bakar
- Habib ‘Abdullah bin Syeikh al-Aidarus
- Habib ‘Abdullah bin Hasan Balfaqih
- Habib Umar bin ‘Alwi al-Kaf, Habib Ahmad bin Hasan al-Haddad
- al-‘Allamah Habib ‘Ali al-Masyhur bin Muhammad bin Salim bin Hafidz (abang beliau)
- Sulthanul Ulama’ Habib Salim bin ‘Abdullah asy-Syathiri
- Syaikh al-Mufti Fadhl bin ‘Abdurrahman BaFadhal
- Syeikh Taufiq Aman dan ramai lagi
Selain dari belajar, beliau beliau juga gigih berdakwah disekitar kota Baidho, Hudaidah dan Taiz. Disamping itu beliau mengambil peluang belajar dengan ulama dikota tersebut seperti al-’Allamah al-Musnid Ibrahim bin Umar bin ’Aqil di kota Taiz.
Seterusnya beliau berangkat pula ke Haramain, dan disana beliau berguru pula dengan ulama-ulama terkenal disana seperti:
- al-‘Allamah Habib ‘Abdul Qadir bin Ahmad as-Saqqaf
- al-‘Allamah Habib Ahmad Masyhur bin Thaha al-Haddad
- Habib Abu Bakar al-Atthas bin ‘Abdullah al-Habsyi
- al-‘Allamah al-Muhaddits Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani
- al-‘Allamah Syaikh Muhammad Yasin bin ’Isa al-Fadani serta sejumlah ulama lain.
Mengajar: Selanjutnya pada tahun 1413H/1992M, beliau berpindah ke kota Syihr dan mengajar di Ribath Syihr. Satu tahun setengah sebelum ke Syihr beliau tinggal di Oman untuk mengajar dan berdakwah. Dan akhirnya beliau kembali ke kota Tarim. Dan pada tahun 1414H/1994 beliau mula merintis penubuhan pusat pengajian yang di beri nama Dar al-Musthafa, yang kemudiannya secara rasmi berdiri pada hari Selasa 29 Dhulhijjah 1417 bersamaan 6 Mei 1997 iaitu mengambil sempena tarikh ayahandanya dibawa pergi oleh pemerintah regim komunis pada 29 Dhulhijjah 1392H.
Mengasaskan Dar al-Musthafa: Dar al-Musthafa yang diasaskan oleh Habib Umar bersama kekandanya Habib ‘Ali al-Masyhur (Ketua Majlis Ulama Tarim). Dar al-Musthafa menerima pelajar sulungnya pada tahun 1994. Angkatan pertama yang mula datang belajar di Dar al-Musthafa, Tarim adalah sekitar 30 orang pelajar yang berasal dari Indonesia. Kehadiran mereka adalah ekoran dari lawatan pertama Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz ke Indonesia pada tahun pada tahun 1993 atas perintah guru beliau iaitu al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad al-Saqqaf dan Habib Muhammad bin Abdullah al-Haddar setelah dipinta oleh Habib Anis bin ’Alwi bin ’Ali bin Muhammad al-Habsyi dari Solo, Indonesia. Angkatan pertama tersebut terdiri dari:-
Yang terkenal namanya di Malaysia:
- Habib Munzir Fuad al-Musawa (Jakarta) – Pemimpin Majelis Rasulullah di Jakarta.
- Habib Jindan bin Naufal bin Jindan (Jakarta) – Pengasuh Pondok Pesantren Al-Fakhriyah, Tangerang, Indonesia
- Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid (Jember) – kini menetap di Malaysia dan sedang menamatkan pengajian PhDnya di UIAM. Beliau terkenal sebagai seorang penterjemah ketikamana ada kunjungan para Habaib ataupun ulama dari Timur Tengah. Dan beliau juga diamanahkan oleh Habib Umar untuk mengajar di Madrasah Nur yang diasaskan oleh Habib Umar di Malaysia. Beliau juga mengajar kitab dibeberapa tempat seperti Masjid Baitulaman dan lain-lain.
- Habib Sholeh al-Jufri (Solo) – seorang penterjemah yang terkenal di Indonesia. Sering dijemput untuk memberi ceramahnya di Malaysia.
Seterusnya: Habib Muhammad Heikal Khaneman (Jakarta); Habib Mahdi al-Hiyed (Tegal); Habib Shadiq Hasan Baharun (Sumenep); Habib Quraisy Baharun (Bangil); Habib Abdul Bari bin Smith (Menado); Habib Ja’far Baqir al-Attas (Jakarta); Habib Hasan al-Muhdhar (Samarinda); Habib Hasan bin Ismail al-Muhdhar (Purbalingga); Habib Hadi al-Aydrus (Pasuruan); Habib Sholeh Abdullah al-Kaf (Brebes); Habib Abdullah al-Haddad (Tegal); Habib Haidar al-Hinduan (Situbondo); Habib Anis bin Husin al-Attas (Pekalongan); Ustaz Muhamad al-Baidhi (Kediri); Ustaz Ahmad Idris (Palembang); Ustaz Hamzah (Bekasi); Ustaz Ridwan Amri (Puncak Bogor); Ustaz Nurhadi (Pasuruan); Ustaz Mufti (Pasuruan); Ustaz Azmi at-Tamimi (Pontianak); Ustaz UbaidiLlah (Jakarta); Ustaz Yahya Rosyad (Purwodadi); Ustaz Salim Nur (Malang); Ustaz Ibrahim at-Tamimi (Pontianak) dan Ustaz Junaidi (Pontianak)
Angkatan pertama ini tamat pengajian yang penuh dengan keberkatan pada tahun 1998. Kini Dar al-Musthafa merupakan antara pusat pengajian yang terkenal di Tarim serta sudah berkembang dengan mempunyai beberapa buah cawangan dan mempunyai ribuan pelajar.
Dasar pendidikan di Dar al-Musthafa adalah
- Mengajar ilmu agama secara bertalaqqi dan menerimanya daripada ahlinya yang bersanad;
- Mentazkiyah diri dan memperbaikkan akhlak; dan
- Menyebarkan ilmu yang bermanfaat serta berdakwah menyeru kepada Allah Ta’ala.
Selain daripada mengadakan pengajian formal. Dar al-Musthafa juga mengadakan daurah musim panas pada setiap tahun. Pesertanya datang dari seluruh pelusuk dunia seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Norway, Austria, British, Amerika, Tanzania Kepulauan Comoro, Tanzania, Kenya, Mesir, Pakistan, Kanada, Australia, Jordan dan lain-lain.
Berdakwah: Ini adalah merupakan usaha yang beliau lakukan sejak umarnya masih muda. Sebagai seorang da’ie ilaLlah, beliau menjelajah ke Jazirah ‘Arab seperti Oman, Bahrain Jordan dan lain-lain, Asia Tenggara, Eropah, Australia, Afrika dan lain-lain negara untuk berdakwah. Beliau juga pernah diwawancara oleh CNN dan BBC.
Beliau memiliki kelebihan dalam menyampaikan nasihat-nasihatnya, sehingga memukau dan menyentuh hati orang yang mendengarkannya. Dalam setiap ceramahnya beliau selalu mengingatkan jama’ah agar selalu memegang teguh dan meneladani ajaran yang disampaikan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para salafush shalih. Kalau di Indonesia, setiap majlis yang beliau adakan, akan dihadiri oleh puluhan ribuan hadirin, bahkan pernah mencecah ratusan ribu. Oleh kerana itulah beliau diberi julukan Habib Sejuta Muhibbin, kerana saking ramainya para pencintanya.
Tidak hairanlah, kalau Habib Umar tersangat gigih di dalam berdakwah, kerana ianya adalah perkara yang paling dicintai Baginda Nabi dan disana terdapat futuh. Maka setiap tarikan nafasnya digunakan untuk dakwah atau mengajar atau beribadah kepada Allah. Hal ini (memperoleh futuh melalui dakwah) pernah disentuh oleh guru beliau al-Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith di dalam rauhahnya:
Cinta kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم adalah salah suatu ibadah yang paling mulia di sisi Allah Ta’ala kerana dengannyalah kita akan sampai kepada Allah Ta’ala. Sehingga Imam ‘Abdul Wahhab asy-Sya’roni رضي الله عنه setiap sehabis shalat, wiridnya adalah:اللهم حببني إلى النبي صلى الله عليه و سلم“Ya Allah, tambahkanlah rasa cintaku kepada Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم”
Maka dari itulah kita harus selalu berupaya untuk menggembirakan hati Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, dan tidak ada amalan yang paling dicintai Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم seperti da’wah ilaLlah (berdakwah mengajak ke jalan Allah).
Sebagaimana diriwayatkan seorang dari marga al-Habsyi yang mana orang tersebut telah memperbanyak shodaqoh, sholawat dan lain-lain, tetapi masih belum mendapat keinginannya iaitu fath al-akbar. Hingga suatu ketika dia bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Kemudian dia bertanya tentang hal tersebut, serta meminta kepada Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم tentang keinginannya tersebut. Tetapi Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم menyerahkan hal ini kepada Habib Ahmad bin Umar Bin Sumaith رضي الله عنه.
Maka ketika bangun dari tidurnya, bergegaslah orang tersebut menuju Habib Ahmad, seraya menceritakan tentang apa yang ia lihat di dalam mimpinya tersebut. Maka Habib Ahmad menjawab. “Hawalah maqbulah (pemindahan dari Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلمsaya terima). Tetapi dengan syarat!”, kata Habib Ahmad. “Iaitu tak terucap dari lisanmu kecuali untuk da’wah ilaLlah.” Maka orang tersebut pun menjawab: “Bagaimana aku mau berdakwah sedangkan aku bukan tholib ‘ilm (penuntut ilmu)?” Habib Ahmad berkata: “Ajarkan apa yang kau ketahui tentang rukun sholat, zakat, dan lain-lain. Pokoknya apa saja yang engkau ketahui!”
Maka ketika keluar dari rumah Habib Ahmad sampai ke desanya, orang tersebut mengajari setiap orang awam yang ia temui. Maka persis ketika sampai ke desanya, Allah Ta’ala memberikan keinginannya iaitu fath al-akbar. SubhanAllah!. Begitu berharganya da’wah ilAllah di sisi Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, hingga dengannya seseorang akan betul-betul mempunyai kedudukan di sisi Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.
Cintailah Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم. Dahulukanlah Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم dari segala-galanya. Jadikanlah Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم sebagai uswah. Dan jangan pula engkau lupa untuk selalu mengkhayalkan dzat Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.
Menulis: Selain dari mengajar dan berdakwah, beliau juga menghasilkan beberapa karya. Yang paling terkenal adalah kitab Maulid yang bernama adh-Dhiya al-Lami’ dan kitab zikir berjudul Khulasah Madad an-Nabawiy. Selain itu Dhakhira Musyarofah (Fiqih), Muhtar Ahadits (Hadits), Nurul Iman (’Aqidah), Durul Asas (Nahwu) dan Tsaghafatul Khatib (Pedoman Khutbah).
Selain itu, ceramah atau pengajian yang dipimpin beliau juga telah dibukukan iaitu pengajian kitab rringkasan ihya yang berjudul Iqtibasul Anwar Minal Ihya dan juga Irsyadatul Da’iyat iaitu kumpulan pelajaran Habib Umar di madrasah az-Zahra`.
Sifatnya: Habib Umar adalah seorang yang sangat istiqamah di dalam melakukan sesuatu. Seorang yang sabar, peramah, lemah lembut dan penyayang. Tekun di dalam beribadat. Tidak pernah letih di dalam menyampaikan dakwah. Masanya seluruhnya beliau gunakan hanya untuk beribadah, mengajar, mentarbiyah dan berdakwah.
Demikianlah secebis pengenalan mengenai Habib Umar yang dapat abuzahrah kongsikan bersama pengunjung blog. Masih banyak yang belum terungkapkan. Namun yang secebis ini sudah cukup untuk kita mengenali pendakwah yang tersohor ini. Sebarang kesilapan pohon dimaafkan.
Marilah kita beramai-ramai menghadirkan diri di dalam majlis yang diaturkan sempena kunjungan beliau ke Malaysia, untuk mengutip mutiara ilmu dan hikmah yang yang bakal beliau hidangkan ... untuk mendapat manfaat, barokah, nafahat dan sir dari beliau ..... Akhir kata abuzahrah bawakan petikan dari kitab Irsyadul 'Ibad untuk tatapan bersama dan mengambil manfaat darinya:
Tersebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani رحمه الله تعالى , pada halaman 4:
Bersabda Nabi صلى الله عليه وسلم:عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر
Yakni [artinya] lazim atas kamu dengan bersama duduk [dengan] ulama’ yang berbuat ‘amal dengan ‘ilmunya dan menuntut mendengar perkataan auliya Allah yang mempunyai ilmu haqiqat, maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah, (berkata qaum [sufi] seorang berhimpun bersama-sama ahlullah mendapat ia kelakuan yang mulia dan lagi sebenar memberi manfaat dengan berhimpun bersama-sama mereka itu terlebih memberi manfaat daripada lafaz lidah) maka bahwasaya Allah menghidupkan Ia akan hati yang buta dengan nur ilmu yang memberi manfaat seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.
Asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani رحمه الله تعالى, di dalam kitabnya Nasha-ihul Ibad fi bayani al-Faadzi al-Munabbihaat 'alal Isti'daadi Li Yaumil Ma'adi pada halaman 4, beliau telah memberi penjelasan bahwa yang dimaksudkan dengan:
- Ulama’ ialah orang-orang ‘alim yang mengamalkan ilmunya
- Hukama’ ialah orang-orang yang mengenal zat Allah Ta’ala, yang betul dan tepat dalam perkataan dan perbuatan mereka.
- Hikmah itu adalah ilmu yang memberi manfaat
Seterusnya asy-Syaikh Nawawi al-Bantani رحمه الله تعالى mengklasifikasikan ulama’ itu kepada 3 bahagian:
- Ulama’ yang ‘alim tentang hukum-hakam, mereka adalah ashhab al-fatwa, yakni mempunyai hak untuk memberi fatwa.
- Ulama yang ‘alim [dan arif] akan dzat Allah [ulama ‘tauhid] sahaja. Mereka ini adalah golongan hukama. Bergaul, berdamping dengan mereka menjadikan akhlaq terdidik, kerana dari hati mereka bersinar cahaya ma’rifatullah dan terbit dari sirr mereka cahaya keagungan Allah.
- Dan ulama yang memiliki kedua-dua shifat diatas, mereka itu kubara’. Maka bergaul dengan ahlullah mendatangkan ahwal yang mulia. Lirikan (nadzrah) mereka lebih mendatangkan manfaat dari daripada ucapan mereka. Dan barangsiapa yang lirikannya memberi manfaat kepadamu, maka bermanfaatlah kata-katanya, dan barangsiapa yang lirikannya tidak memberi manfaat kepadamu, maka kata-katanya tidak akan mendatangkan manfaat.
Selanjutnya asy-Syaikh Nawawi al-Bantani رحمه الله تعالى عنه membawakan sepotong hadits:سيأتي زمان أمتي يفرون من العلماء والفقهاء فيبتليهم الله بثلاث بليات: أولاها يرفع الله البركة من كسبهم، والثانية يسلط الله تعالى عليهم سلطان ظالما، والثالثة يخرجون من الدنيا بغير ايمان
Artinya: Akan datang satu zaman atas umatku dimana mereka lari (menjauhkan diri) daripada (ajaran dan nasihat) ulama' dan fuqaha', maka (akibatnya) Allah Ta’ala menimpakan tiga (3) bencana atas mereka iaitu yang pertama, Allah mengangkat (menghilangkan) keberkatan dari usaha mereka, kedua, dikuasakan penguasa yang dzalim atas mereka dan ketiga, mereka keluar dari dunia (mati) tanpa membawa iman.
والله أعلم ونسأله التوفيق والهدايه
Sekian dari al-faqir abuzahrah
Sri Gombak, 9.00 pagi, 23 Rabiulakhir 1430H/ 19 April 2009
No comments:
Post a Comment